Wednesday, March 9, 2011

Tutup pintu zina elak Sekolah Harapan cambah seperti cendawan

Oleh Mohamad Isa Abd Ralip

Semua pihak mesti bertanggungjawab pastikan generasi muda jauhi aktiviti tidak bermoral

PENUBUHAN Sekolah Harapan bertujuan memberi peluang pelajar hamil meneruskan persekolahan dan mendapat bimbingan memperbaiki diri serta kesilapan bagi mengurangkan kes pembuangan bayi.

Bayi yang lahir daripada perbuatan menyalahi hukum agama adalah suci dan mereka makhluk Allah yang tidak sepatutnya dikorbankan hanya kerana hendak menutup aib si ibu atau keluarganya.

Apapun harapan terhadap Sekolah Harapan ini, kita seharusnya tidak lupa pepatah Melayu yang menyebut ‘mencegah lebih baik daripada mengubati’. Pepatah ini selari kaedah fiqhiyyah yang menyebut, ‘menolak kerosakan lebih utama daripada menarik kemaslahatan’.

Mengikut kaedah ini, apabila terjadi pertentangan antara kerosakan dan kemaslahatan, maka umumnya menolak kerosakan adalah lebih didahulukan kerana tumpuan syarie terhadap larangan melakukan perkara bertentangan aga-ma lebih tegas berbanding tumpuan kepada perintah.

Diriwayatkan Abu Hurairah, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila aku menegah kamu terhadap sesuatu, jauhilah ia. Apabila aku perintahkan kamu dengan sesuatu perkara, lakukanlah ia menurut kemampuan kamu.”

Pelaksanaan kaedah fiqh itu ialah melaksanakan kemaslahatan dengan menghindari atau mengenepikan kerosakan.

Melihat kepada penubuhan sekolah ini, walaupun ia bukan satu cara pencegahan terbaik untuk menangani gejala sosial dalam kalangan remaja dan masalah pembuangan bayi, sekurang-kurangnya ia adalah kaedah mengubati walaupun bersifat sementara untuk mengelakkan kerosakan iaitu membuang hingga menyebabkan kepada kematian bayi itu.

Hakikatnya, semua pihak termasuk kerajaan, badan bukan kerajaan, ibu bapa, masyarakat serta institusi agama harus menggembleng tenaga bagi mengatasi masalah pembuangan bayi ini. Penyelidikan sosial bagi mengetahui punca utama perlu dilakukan dan diambil tindakan segera.

Walaupun mungkin memerlukan belanja tinggi, adalah lebih baik kerana dapat mencegah bagi satu jangka masa panjang berbanding melakukan pencegahan sementara yang entah bila akan selesai.

Penubuhan Sekolah Harapan bertujuan ‘mengubati’ dan memberi perlindungan kepada remaja terlanjur yang dikendalikan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM). Konsep sekolah ini lebih kurang sama dengan pusat pemulihan yang digabungkan dengan sistem sekolah menengah harian, namun identiti pelajar dirahsiakan bagi menjaga kepentingan pihak berkaitan.

Bagaimanapun, ia bukan kaedah penyelesaian terbaik secara keseluruhan kerana semakin sekolah ini diterima masyarakat, dikhuatiri matlamat mengurangkan gejala kurang sihat tidak tercapai.

Malah, sekolah berkenaan dijadikan jalan penyelesaian setiap kali berlaku keterlanjuran dalam kalangan remaja sedangkan usaha menangani isu sebenarnya iaitu mencegah daripada terjerumus perbuatan zina tidak terlaksana.

Pastinya kita tidak mahu wujud sikap ibu bapa menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab memperbetulkan kesalahan anak kerana tugas itu tetap menjadi tanggungjawab ibu bapa.

Kelemahan yang dapat dilihat daripada penubuhan sekolah ini ialah mereka yang melakukan kesilapan seolah-olah terlepas tindakan undang-undang. Sepatutnya lelaki terbabit hingga menyebabkan teman wanita mengandung dan melahirkan anak perlu dipertanggungjawabkan.

Mereka sepatutnya diberi pendidikan dan pemulihan dari segi kerohanian dan akhlak supaya timbul penyesalan untuk tidak mengulangi kesilapan sama di masa depan.

Selain penubuhan Sekolah Harapan serta penerapan nilai agama kepada generasi muda hari ini, langkah mencegah dan mengubati dengan mengenakan hukuman setimpal kepada pesalah yang melakukan pergaulan bebas sehingga melahirkan anak tidak berdosa perlu dikenakan.

Kesedaran undang-undang perlu diterapkan kepada masyarakat sebagai pendidikan undang-undang di negara kita termasuk undang-undang jenayah syariah tidak berkompromi dengan sesiapa yang terbabit jenayah seperti ini.

Pada masa sama, peningkatan daya saing di kalangan usahawan berjaya mencipta suasana positif untuk memacu tahap perkembangan ekonomi lebih pesat.

Realiti semasa memperlihatkan ekonomi dunia sedang mengharungi arus globalisasi yang hebat dan mewujudkan persaingan kompleks antara satu sama lain.

Justeru, bagi mengekalkan daya saing itu usahawan perlu mencipta, meneroka potensi alternatif, mengilhamkan pelbagai idea dan merebut peluang sedia ada untuk menyelesaikan masalah serta cabaran semasa yang dihadapi dalam dunia globalisasi.

Meskipun Islam memberi kebebasan kepada golongan usahawan memanipulasi sumber alam bagi tujuan merancakkan aktiviti perekonomian, mereka masih terikat dengan ketentuan dan peraturan termaktub dalam muamalah Islam.

Oleh itu, atas fungsi usahawan sebagai pengurus dan pemegang amanah sudah tentu manusia terikat dengan tanggungjawab terhadap hak agama yang perlu ditunaikan sama ada membabitkan hubungan dengan Pencipta, sesama insan dan makhluk lain.

Allah mengingatkan dalam firman bermaksud: “Kecelakaan besarlah bagi orang yang curang (dalam timbangan dan sukatan). Iaitu orang yang apabila menerima sukatan (cupak dan gantang) daripada orang lain mereka minta dipenuhi. Dan (sebaliknya) apabila mereka menyukat atau menimbang untuk orang lain mereka menguranginya. Tidakkah orang itu yakin bahawa sesungguhnya mereka dibangkitkan (hidup semula sesudah mati)? Pada hari (kiamat) yang amat besar (huru haranya), hari berdiri manusia yang mengadap Tuhan Sekalian Alam? Tidak sepatutnya (mereka melakukan perbuatan yang salah itu dan melalaikan hari akhirat). Sesungguhnya kitab suratan amalan orang yang derhaka tersimpan dalam Sijjin.” (Surah al-Mutaffifin, ayat 1-7)

Tuesday, December 28, 2010

Mengapa Melayu Berpolitik Mengikut Sentimen?

Dari Sabahdaily.com

Tendensi pengundi Melayu memberi undi untuk mengangkat sesebuah kerajaan berpandukan sentimen adalah satu percaturan yang silap. Kesilapan berlaku apabila mereka malas mengangkat darjat akal. Akal yang menjadi aset paling berharga dalam diri manusia dipenyek oleh nafsu sehingga nafsu mendapat ruang udara yang begitu selesa untuk membuat percaturan bagi pihak tuannya. Nafsulah yang mencipta sentimen dan melenyapkan kewarasan budi..

Mana mungkin seseorang itu dapat mencipta keputusan yang bijak dengan berpandukan sentimen?

Mengundi ialah kerja politik yang amat penting dalam sistem demokrasi. Sebelum mengundi, masing-masing sudah memahat simbol parti yang akan dipangkah. Simbol itu bukan dipahat sebaik Parlimen atau DUN dibubarkan. Malah bagi sesetengah orang pahatan itu telah berpuluh tahun usianya. Kalaulah pahatan itu besi, maka sudah berkarat besi itu.

Ada pengundi Saluran 1 berkata, “Pakcik dah pangkah dacing sejak kapal layar lagi.” Kapal layar itu merujuk kepada Parti Perikatan sebelum tertubuhnya Barisan Nasional. Seolah-olahnya sejak merdeka hingga alaf baru ini, dunia tidak pernah berubah. Bagi mereka UMNO sentiasa moleh sejak dulu, kini dan selama-lamanya. Mereka tidak dapat membezakan kepimpinan Tengku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak dan Tun Hussein Onn dengan kepimpinan Tun. Dr. Mahathir, Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Dato’ Seri Najib. Apalagi untuk mereka sedari bahawa UMNO sebenar telah lama berkubur. Yang ada sekarang ialah UMNO Baru yang dibuang perkataan ‘Baru’nya.

Sejak dasar penswastaan yang diperkenalkan oleh Tun Dr. Mahathir, UMNO bukan lagi berjuang untuk rakyat. Mereka juga tidak layak dipanggil wakil rakyat. Sebahagian besar ADUN atau AP-nya adalah wakil perut dan kroni. Mereka mengaut keberuntungan ekonomi yang tidak pernah berkecukupan. Mereka mencari sekawah lauk konon untuk dijamu bersama rakyat. Namun senduk mereka cukup besar untuk mengaut segala isi yang lazat-lazat maka ditinggalkanlah untuk rakyat yang mengundinya kuah agar dapat dihirup beramai-ramai. JKKK-lah yang menjadi tukang membahagikan kuah itu. Sempat juga JKKK merasai seketul dua daging yang ditinggalkan oleh wakil-wakil mereka.

Sikap politik masyarakat Melayu lebih berpaksikan sentimen terutamanya golongan tua dan golongan pengundi luar bandar. Mereka menyokong UMNO/BN macam golongan muda dan golongan bandar menyokong pasukan bolasepak. Menjadi satu fenomena bagi golongan ini memuja pasukan Manchester United (MU), Liverpool, Chelsea dan Arsenal. Pasukan bolasepak gergasi ini tiada kena-mengena pun dengan harta dan jatidiri rakyat Malaysia. Namun mereka yang gila bola boleh saja bersengkang mata kerana menunggu perlawanan yang melibatkan pasukan pujaan mereka. Mereka rela berhabis duit mengumpul jersey, mafla dan logo kebanggaaan EPL itu. Apabila pasukan pujaan mereka menang, mereka tidak mendapat apa-apa pun. Seduit pun tidak dihulurkan oleh juara EPL kepada mereka. Hendak dibanggakan pun tak layak dan dketawakan orang. Bila pula mereka membuat MOU dengan pasukan itu?

Inilah analogi sikap pengundi yang meletakkan sentimen sebagai asas sokongan mereka. Mereka buat parti politik bagaikan pasukan bolasepak. Mereka bertindak dalam pilihanraya seperti tindakan penyokong fanatik bolasepak. Mana mungkin begini? Di manakah letaknya akal yang waras? Mengapa diperbodohkan diri sendiri?

Menyokong dan memilih pasukan bolasepak tidak melibatkan dosa dan pahala. Siapa-siapa pun secara peribadi boleh meminati pasukan itu dan ini walaupun tanpa sebab yang konkrit. Itu diharuskan sahaja selagi pasukan yang disokong itu tidak membawa imej yang bercanggah dengan Islam. Malah kini telah pun heboh isu simbol syaitan dan minum keras yang terpapar pada jersey pasukan-pasukan berkenaan. Ini bermakna dalam hal sukan pun kita kena teliti agar tidak syirik atau rosak akidah sedangkan sukan pada dasarnya diharuskan oleh syarak.

Apalagi dalam hal politik dan memilih pemimpin. Semestinya melibatkan dosa pahala dan nasib diri serta generasi. Penulis tertarik dengan perbahasan pemuda kampung dalam isu hudud. PAS memperjuangkan hudud manakala UMNO menolak hudud dengan pelbagai alasan.

Kata pemuda itu sebagai konklusi perbahasannya, “ Agama saya kata orang mencuri mesti dipotong tangannya”. Dia berkata demikian kerana oponennya berkeras menolak hukum hudud. Pemuda yang mempertahankan hudud itu menggunakan ‘agama saya’ tidak ‘agama Islam’. Ini yang menarik bagi penulis. Apabila oponennya bertanya, “ Apa agamamu?” Pemuda itu menjawab, “Islamlah.” Lalu oponennya yang mendokong perjuangan UMNO berkata,“ habis, kau seorang saja Islam?” Maksudnya, aku juga Islam macam kamu. Lalu pemuda itu berkata lagi, “Agama aku kata pencuri perlu dipotong tangan. Agamamu kata pencuri sesuai dipenjara. Mana sama agama kita? Kalaulah agama kita sama tentulah hukumnya juga sama.”

Demikianlah satu misalan yang jelas bahawa politik PAS dan UMNO melibatkan hukum dosa dan pahala. Apalagi dalam memilih pemimpin. Tentulah perlu dipilih pemimpin yang jujur, tidak rasuah, boleh memimpin demi kebahagiaan dunia sampai ke akhirat yang kekal abadi. Mana boleh pilih pemimpin kaki rasuah, kaki perempuan, kaki botol, kaki tipu dan kaki sapu.

Kesimpulannya, masyarakat mestilah memilih parti dan mengundi bertolak dari keimanan di dada ( meskipun sedikit) dan disinari oleh akal yang bermaruah lagi bijaksana. Kita akan ditanya di akhirat kelak tentang amalan dan tindakan kita. Sebelum sampai di sana, di dunia ini pun kita inginkan kesejahteraan dan kemakmuran untuk diri dan terutamanya anak-anak kecil kita yang sedang membesar. Kesilapan kita memilih pemimpin bererti kita meletakkan nasib anak-anak kita dalam bahaya, gejala sosial yang menakutkan dan kesesatan hidup yang nyata. Janganlah berpegang kepada dakyah UMNO bahawa hidup hanya sekali sedangkan Islam mengajar kita bahawa hidup dua kali iaitu, sekali di dunia sekadar 60 tahun dan sekali lagi di akhirat yang kekal abadi. Ya, ingat-ingat sesungguhnya hidup ini dua kali, bukan sekali.

Tuesday, December 21, 2010

Demokrasi Kelam Barisan Nasional Kejam

1. Barisan Nasional bukan pendokong demokrasi ! bohong dan dustalah kiranya mereka mengaku bahawa mereka menegakkan amalan demokrasi dalam negara ini . Siri pencabulan demokrasi terutama hak kebebasan bersuara dan membela diri sering berlaku dalam negara ini. Barisan Nasionallah angkaranya.

2. Nyata mereka gagal berdepan dengan kekuatan hujjah yang dibawa oleh pihak Pakatan Rakyat dalam apa jua isu terutama dalam usaha mereka mematahkan sokongan masyarakat kepada Pakatan Rakyat .Akhirnya memaksa mereka menggunakan hujjah kekuatan dalam mendepani kemaraan Pakatan Rakyat.

3.Mereka menggunakan kekuatan gas pemedih mata , cota , gari , polis , penjara , akta dan kini gantung ahli parlimen selama 6 bulan dari menghadhiri sidang , sedang mereka adalah wakil rakyat yang dipilih secara sah oleh rakyat melalui proses demokrasi. Semata - mata kerana mereka gagal berdepan dengan hujjah sekalipun jumlah ahli parlimen mereka agak ramai di parlimen tetapi hanya seperti puppet yang mengangguk bila di iya kan dan menggeleng bila di tidakkan.

4. Hari ini Dato' Seri Anwar Ibrahim dan rakan - rakan yang lain menjadi mangsa episod demokrasi yang semakin kelam dan tindakan Barisan Nasional yang semakin kejam . Selain dari tidak memberi peluang Dato' Seri Anwar membela diri dan mempertahankan hujjah , mereka seperti berpesta dan seronok kerana berjaya mengurangkan jumlah ahli parlimen Pakatan Rakyat di Parlimen serentak itu melebarkan penguasaan mereka dari segi jumlah kerusi dan suara biarpun selamanya mereka dangkal berhujjah serta cetek berbahas.

5. Barisan Nasional mungkin boleh mengukir senyuman kerana berjaya "menghalau" figure - figure Pakatan Rakyat ini keluar dewan namun Barisan Nasional terpaksa membayar"ganti rugi" akibat tindakan yang dilihat dunia sebagai mencabul demokrasi .

6. Selayaknya Parlimen menjadi gelanggang berhujjah dengan mengharapkan semua anggotanya mengemukakan hujjah yang bernas dan berfakta samaada dari pihak pembangkang mahupun kerajaan. Bukannya Parlimen dijadikan tidak ubah seperti gelanggang gasing dengan masing - masing berusaha untuk memangkah antara satu sama lain agar terkeluar dari gelanggang dan dinafikan hak untuk bertarung.

7. Saya kesal dengan sikap tidak gentleman pemimpin Barisan Nasional yang cenderung menggunakan kekuatan , kekerasan dan tekanan serta sekatan sedemikian yang jelas dilihat bertentangan dengan spirit demokrasi yang dijulang oleh mereka selama ini.

8. Ini membuktikan Barisan Nasional ketandusan pemimpin yang pintar berhujjah dan hebat berbahas. Barisan Nasional kelihatan gersang pemimpin yang mampu menangkis hujjah lawan secara fakta dan nas . Apa yang Barisan Nasional miliki hari ini ialah pemimpin yang bijak menggunakan peraturan bagi mengenepikan lawannya secara taktikal bukan keupayaan skil dan skima beraksi [ berhujjah ] di tengah medan.

9. Negara menuju kejatuhan nilai kualiti modal insan dan keruntuhan tamadun ilmu yang parah apabila inilah pemimpin yang dilahirkan oleh Barisan Nasional hari ini. Lihatlah betapa lucunya seorang ahli Parlimen digantung 6 bulan atas kesalahan kerana beliau mengatakan 1 Malaysia adalah hasil nasihat APCO yang meniru 1 Israel. Sedang ahli - ahli parlimen mereka boleh berhujjah dengan 1001 hujjah dan fakta jika mereka benar dan tidak sebagaimana yang didakwa.

10. Kesimpulan mudah dibaca oleh rakyat ialah , dakwaan Dato' Seri Anwar bahawa 1 Malaysia adalah fotocopy dari 1 Israel melalui nasihat APCO adalah benar dan tepat sehingga kerajaan gagal menangkis hujjah beliau lalu menghalaunya keluar dari Parlimen melalui taktikal yang terancang. Semoga rakyat mampu menilai antara kaca dan permata apabila berlakunya insiden yang memalukan negara ini.

Posted by Nasrudin Hassan at Tantawi

Sunday, December 12, 2010

MUZIK ANTARA PRO DAN KONTRA

MUZIK ANTARA PRO DAN KONTRA

MUQADDIMAH

Di antara perkara yang masih menjadi khilaf di kalangan ulama’ ialah hukum muzik. Para ulamak’ sejak zaman silam telah cuba mengupas masalah ini berdasarkan kepada kefahaman nas-nas yang ada diseragamkan dengan uslub istinbat hokum sebagimana yang tertera di dalam kanun perundangan Islam. Muzik terus menjadi salah saau isu yang sukar untuk diputuskan hukumnya. Para ulama’ dan fuqaha’ telah berijtihad dalam menentukan hukumnya dan mereka terbahagia kepada dua golongan; golongan yang mengharuskan dan golongan yang mengharamkan. Masing-masing mempunyai hujah-hujah yang tersendiri dalam memahami nas-nas yang berkaitan dengan perkara ini.
Muzik di masa kini telah mengalami perkembangan yang begitu pesat dibandingkan dengan zaman permulaan Islam dan seterusnya di zaman-zaman keagungan Islam sebagai kuasa besar dunia. Kalau dulu, irama muzik tidak dapat didengari melainkan di majlis-majlis atau kelab-kelab muzik dan nyanyian. Dahulu alatan muzik hanya dimainkan dan iramanya hanya didengar oleh golongan-golongan tertentu seperti peminum-peminum arak dan lelaki-lelaki pondan yang digolongkan sebagai ahli fasiq dan maksiat. Golongan lelaki yang mempunyai sifat kelelakian yang sempurna dianggap ‘aib sekiranya memainkan atau mendengar irama muzik. Kini, segala-galanya telah berubah. Dunia moden menyaksikan revolusi kebendaan yang menakjubkan. Muzik kini boleh didengari di mana-mana sahaja. Buka sahaja TV atau radio, insan moden boleh mendengar berbagai-bagai jenis muzik, tidak perlu bersusah-payah menghadiri majlis atau kelab muzik. Lelaki yang sentiasa mendengar alunan nasyid atau pukulan duf (rebana kecil) atau gendang melalui kaset dan seumpamanya adalah perkara biasaa yang tidak mengaibkan dan tidak menjatuhkan maruahnya. [i] Muzik-muzik yang didengari melalui TV atau radio yang digunakan untuk rancangan-rancangan seumpama berita, peristiwa atau perpindahan antara satu rancangan dengan rancangan yang lain adalah muzik-muzik yang tidak menimbukan ‘aib kepada pendengarnya di masa kini.
Berdasarkan kepada waqi’ yang berubah dan uruf atau adat umat Islam yang bertukar, penulis cuba mengupas kembali persoalan muzik yang menjadi tanda tanya kebanyakan umat Islam di masa kini. Di dalam risalah ringkas ini penulis akan cuba membentangkan pandangan-pandangan ulama’ dahulu dan sekarang dan cuba membuat kesimpulan di akhir perbahasan ini.



MANUSIA DAN SENI

Manusia adalah makluk yang dibekalkan oleh Allah SWT dengan perasaan, tabiat dan kecenderungan semulajadi yang sudah menjadi fitrah kejadian manusia.. Jiwa dan perasaan manusia perlu disahut kehendak-kehendaknya sebagaimana manusia memberikan hak-hak tertentu kepada akal dan tubuh badannya.
Apabila jiwa dan batin ditekan atau tidak disahut kecenderungannya, ia akan cepat memberontak menyebabkan kehidupan tidak tenteram. Islam telah mengiktiraf hak-hak batin manusia melalui firman Allah Taala:
“... Dijadikan indah pada pandangan manusia kecintaan kepada apa yang diingini iaitu wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia dan di sisi Allahlah tempat kembali yang baik (syurga)” Ali Imran : 14

Namun, dalam menyahut kehendak batin dan jiwa, Islam meletakkan batas-batas tertentu. Batas-batas ini sekiranya dilanggar akan menyebabkan kerosakan dan kemudaratan kepada individu dan masyarakat muslim. Di sinilah terpancarnya keunggulan Islam dalam memastikan kebahagiaan hidup makhlukNya di bumi Allah SWT yang menjadikan manusia dan Maha Mengetahui seelok belok dan kehendak hambaNya. Lantaran itu, Allah murka kepada orang yang mengharamkan perhiasan dan kelazatan-kelazatan yang telah dikurniakan olehNya kepada hamba-hambaNya di pentas dunia ini.

FirmanNya:

“Katakanlah (wahai Muhammad) siapakah yang mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkan untuk hamba-hambaNya dan mengharamkan rezeki yang baik.” Al-A’raaf : 32
FirmanNya lagi:

“Jangan kamu lupa bahagian kamu daripada kehidupan dunia ini.” Al-Qasas: 77

Muzik adalah sebahagian daripada seni. Mendengar irama muzik merupakan satu wasilah untuk melapangkan jiwa yang hambar dan fikiran yang berserabut. Dengan menyanyi (atau bernasyid) dan mendengar irama-irama tertentu seseorang itu boleh gembira atau sedih, tenang atau gelisah dan sebagainya. Perkara ini adalah fitrah yang tidak dapat dinafikan oleh sesiapa pun, tua atau muda, kecil atau besar. Hatta janin di dalam kandungan ibu bertindak balas dengan suara nyanyian ibunya sebagaimana hasil kajian yang dilakukan oleh Persatuan Kajian Sains Diraja England. [ii]

Perkembangan dunia seni mempunyai kaitan rapat dengan perkembangan tamadun. Ia berkembang selari dengan perkembangan sesebuah tamadun bangsa. Sekiranya kita kembali kepada sejarah ketamadunan Islam kita mendapati kebenaran fakta ini. Di permulaan pembinaan tamadun Islam, iaitu di zaman Rasulullah SAW dan Khulafa’ Ar-Rasyidin, seni tidak begitu dititikberatkan kerana umat Islam sibuk berjuang di jalan Allah SWT untuk meluaskan empayar Islam. Tiada masa bagi mereka untuk bersuka ria dan memberikan perhatian kepada perkara-perkara sisipan dalam kehidupan seperti seni. Apabila kuasa Islam semakin meluas dan berlaku persekongkolan tamadun dengan Parsi, India, Rom dan sebagainya, bidang seni semakin berkembang. [iii] Umat Islam yang hidup dalam keamanan dan kemewahan mula mencari hiburan dan suka ria untuk memenuhi kelazatan dan kesenangan hidup. Lantaran itu berkembanglah dunia seni dengan pesatnya. Alat-alat muzik diimport daripada tamadun-tamadun lain seperti Parsi dan India. Mereka mula tenggelam dalam dunia kemewahan, bersuka ria dan hiburan yang berlebihan dan bercanggah dengan batas-batas Allah SWT. Natijahnya umat mula melupai kewajipan mereka. Kehidupan bercampur aduk dengan unsur-unsur maksiat, empayar Islam semakin lemah kerana lemahnya pemimpin dan rakyat, akhirnya satu demi satu jajahan Islam dirampas oleh musuh dan mengakibatkan kehancuran empayar Islam dan kehinaan umatnya. Inilah gambaran apa yang berlaku kepada Khilafah Othmaniyyah di Turki.

Di abad ini alam Islami menghadapi perkembangan dunia seni yang lebih mencabar. Dengan berlakunya persekongkolan tamadun dengan barat, umat Islam diserang dengan arus massa yang amat deras. Tamadun material Barat telah mengeksport ke dunia Islam berbagai-bagai corak seni yang meliputi perfileman, drama, nyanyian, dokumentari dan seumpamanya melalui wasilah-wasilah massa seperti TV, radio, wayang, video, komputer, satelit dan sebagainya.

Barat yang tidak mengerti halal dan haram menjadikan dunia seni seumpama neraka jahannam yang menjadi ancaman yang amat merbahaya dan suka ditangkis oleh umat Islam di masa kini. Umat Islam seolah-olah sudah tidak bermaya lagi untuk menangkis serangan-serangan tersebut. Mereka seumpama ‘Pak Angguk’ yang menerima sahaja segala apa yang dikurniakan oleh barat kepada mereka tanpa menilai baik atau buruk, membina atau tidak. Lantaran itu menjadi kewajipan umat Islam untuk menghadapi serangan media massa yang hebat ini demi keagungan Islam. Umat Islam perlu mengemukakan alternatif-alternatif baru yang dapat menggalang-gantikan bentuk-bentuk hiburan Barat yang jauh lebih melencong daripada batas-batas Allah SWT.


BUKU-BUKU KARANGAN ULAMA’-ULAMA’ TENTANG MUZIK DAN NYANYIAN

Para ulama’ Islam sejak zaman silam telah membincangkan masalah ini dengan panjang lebar. Ada di antara mereka yang mengarang buku khas membincangkan masalah ini dan ada yang memasukkan perbincangan mereka bersama bab-bab lain.
Di antara buku-buku karangan yang khas membincangkan masalah ini ialah:

1. 1. As-Simaa’ : Muhammad bin Thahir Al-Maqdisi Al-Qaisarani (448H – 507H)
2. 2. Hukmul Islam fil Ghina’ : Ibnu Qayyim Al-Jauziyyah (w. 751H)
3. 3. Kaffur Ri’aa ‘An Muharramatil Lahwi Was Simaa’ : Ibnu Hajar Al-Haitami (w. 973H)
4. 4. Kasyful Qinaa’ ‘An Wajhis Simaa’ : Abdul Wahab As-Sya’rani (898H – 973H)
5. 5. Iedhahud Dhilalat Fi Simaa’il Aalat : Abdul Ghani An-Nablusi (1050H – 1143H)
6. 6. Al-Imtaa’ Wal Intifaa’ bi Mas’alati Simaa’is Simaa’ : Ibnu Durraj Al-Busti (w. 693H)
7. 7. Farhul Asmaa’ Bi Rukhasis Simaa’ : Al-Imam Mohd As-Syazili At-Tunisi.
8. 8. Al-Imtaa’ fi Ahkamis Simaa’ : Al-Kamal Jaafar Al-Idfawi.



Sementara buku-buku yang diselitkan di dalamnya perbincangan tentang perkara ini, di antaranya ialah:

1. 1. Talbisul Iblis : Ibnul Jauzi Al-Baghdadi (w. 579H)
2. 2. Madaarijus Saalikin wa Ighatsatul Lihafan : Ibnu Qayyim Al-Jauziyyah (w. 751H)
3. 3. Rasaa’il Ibn Hazm & Al-Muhalla : Ibnu Hazm Al-Andalusi
4. 4. Kalimaatus Sufiyyah : Ibnu Sina (w. 328H)
5. 5. ‘Awaariful Ma’arif & Aadabul Muridien : As-Sahrurudi Al-Baghdadi.
6. 6. Ar-Risalah Al-Qusyairiyyah : Al-Imam Al-Qusyairi (367H – 465H)
7. 7. Al-Lama’ : Abu Nasr As-Siraj At-Thusi.
8. 8. Ihya Ulumiddin : Abu Hamid Al-Ghazali (450H – 505H).
9. 9. Al-Mughni : Ibnu Qudamah Al-Hanbali.
10. 10. Mughni Al-Muhtaj : Al-Khatib As-Syarbaini (w. 977H).
11. 11. Hasyiar Raddil Mukhtar : Ibnu ‘Abidin Al-Hanafi.
12. 12. Naylul Authar : Al-Imam Asy-Syaukani.

Ulama’-ulama’ terkini tidak ketinggalan mengemukakan pandangan dan kajian mereka berdasarkan waqi’ masa kini. Di antara buku-buku yang menyentuh hal ini ialah:

1. 1. As-Simaa’ ‘Indas Sufiyyah : Dr. Kaukab ‘Amir (Universiti ‘Ain Syams).
2. 2. Al-Islam wal Funun Al-Jamilah : Dr. Muhammad ‘Imarah.
3. 3. Al-Islam wa Qadhaya Al-Fann Al-Muasir : Yasin Muhammad Hasan.
4. 4. Malamih Al-Mujtama’ Al-Muslim : Dr. Yusuf Al-Qardhawi.
5. 5. Al Mufassal fi Ahkamil Mar’ah wal Baitil Muslim - juzuk 4 bab 8 : Al-Lahw wal La’b : Dr. Abdul Karim Zaidan.
6. 6. Al-Lahwul Mubah fil Asril Hadith Bima Yuwafiqusy Syar’al Hanif : Abu Huzaifah Ibrahim bin Muhammad.

JENIS-JENIS ALAT MUZIK [iv]

Alat Yang Dipukul Atau Diketuk

Antaranya:
1. Ad-Daf – rebana kecil.
2. Tamborin.
3. Gendang – At-Thabl.
4. Al-Kubisah – sejenis gendang yang ramping tengahnya, lebar kedua hujungnya (tabla).
5. As-Safaaqatan @ As-Sanj – dua piring tembaga yang dilagakan untuk menghasilkan bunyi.
6. Gong.

Alat Yang Dipetik

Antaranya:
1. Al-‘Ud atau Al-Muzhir : Kecapi
2. Ar-Rabab : Rebab (seperti biola)
3. At-Tanbur : Gambus
4. Al-Bazaq : Sejenis gambus kecil.
5. Biola.
6. Gitar
7. Piano.

Alat Yang Ditiup

Antaranya:
1. An-Nay : Sejenis serunai
2. Al-Mizmar : Serunai
3. Asy-Syababah / Al-Yara’ : sejenis seruling.
4. Klarinet
5. Saksofon
6. Trompet
7. Organ
8. Trombon
9. Harmonika



HUKUM ALAT-ALAT MUZIK DI DALAM KHAZANAH ULAMAK SILAM
Alat-alat yang dipukul atau diketuk [v]

1. Ad-Duff (Rebana Kecil)

Duf ialah sejenis alat muzik yang disepakati oleh para ulamak keharusan penggunaannya. Hukum ini berdasarkan kepada hadith-hadith Rasulullah SAW yang secara terang menyebut keharusan penggunaan alat ini. Di antaranya:

a. Hadith riwayat Muhammad bin Hatib daripada Rasulullah SAW [vi]:

“...Pemisah antara halal dan haram ialah pukulan duf.”

b. Hadith riwayat Khalid bin Zakuan daripada Ar-Rabie’ binti Mu’awwiz bin ‘Afra’ :

“Masuk Nabi SAW – ketika mula-mula berkesedudukan denganku (selepas perkahwinan)- lalu duduk di atas hamparan seperti kedudukan kamu (Khalid bin Zakuan) daripada aku. Di ketika itu beberapa hamba perempuanku sedang memukul duf dan meratapi kematian bapa-bapaku dalam Peperangan Badar. Salah seorang daripada mereka mendendangkan kata-kata: Di sisi kami Nabi yang mengetahui perkara akan datang. Lantas Nabi SAW menegur: “Tinggalkanlah kata-kata ini dan teruskan nyanyianmu.” (Riwayat Bukhari)

c. Hadith yang diriwayatkan oleh Imam Tirmizi di dalam Sunannya [vii]:

“... Keluar Nabi SAW dalam satu peperangan. Apabila pulang, datang seorang hamba perempuan hitam lalu berkata: “ Wahai Rasulullah, aku telah bernazar sekiranya engkau pulang dengan selamat, aku akan memukul duf sambil menyanyi”. Nabi SAW menjawab: “Sekiranya engkau telah bernazar, buatlah sebagaimana dinazarkan, sekiranya tidak, maka tidak perlu”.

Hukum Lelaki Yang Memukul Duf

Para ulamak bersepakat bahawa wanita dibenarkan memukul duf. Tetapi mereka berselisih pendapat pada hukum lelaki menggunakan alat ini, adakah harus atau sebaliknya. Dalam hal ini terdapat dua pandangan:

i. Pendapat yang mengatakan haram lelaki memukul duf. Mereka menyandarkan pandangan ini kepada adat dan ‘uruf. Di mana memukul duf (di zaman dahulu) hanya dilakukan oleh kaum wanita sahaja. Oleh itu, lelaki yang memukul duf dianggap meniru perbuatan kaum wanita dan termasuk di dalam golongan yang disifatkan oleh Nabi SAW: “Rasulullah SAW melaknat lelaki-lelaki yang menyerupai (meniru) wanita” – hadith dikeluarkan oleh Bukhari di dalam Sahihnya daripada ‘Ikrimah daripada Ibnu Abbas. Dikeluarkan juga oleh Ahmad di dalam Musnadnya daripada hadith Ata’ bin Abi Rubah daripada Abu Hurairah. (Sahih Bukhari 8/305, Al-Fathul Bari 19/322

Mereka juga berdalilkan hadith-hadith yang hanya menyebut kaum wanita dan hamba-hamba perempuan sahaja memukul duf tanpa ada riwayat yang menyebut kaum lelaki di zaman salaf memukul duf.

Pendapat ini ialah pendapat sebahagian ulamak mazhab Syafi’e, jumhur ulamak mazhab Hanbali dan Asbagh – seorang ulamak mazhab Maliki.

ii. Pendapat yang mengharuskan lelaki memukul duf, kerana tiada nas yang mengharamkannya. As-Subki (seorang ulamak Syafie) mengatakan: “...dari segi asalnya, lelaki dan wanita bersekongkol dalam hukum-hakam melainkan ada nas yang membezakan antara keduanya. Adapun dalam masalah ini tiada nas yang membezakan antara lelaki dan wanita dari sudut keharusan memukul duf. Tambahan pula, memukul duf tidak hanya dikhaskan untuk wanita semata-semata.”
Mereka yang berpendapat sedemikian ialah Jumhur ulamak Maliki, Jumhur Mazhab Syafie dan pendapat Imam Ahmad bin Hanbal dari sebahagian pengikutnya.

Bilakah Diharuskan Lelaki Memukul Duf?

Berlaku perselisihan pendapat di kalangan fuqaha’ pada tujuan dan keadaan yang dibenarkan memukul duf. Mereka terbahagi kepada dua mazhab:

Pendapat pertama:
Harus memukul duf untuk melahirkan rasa kegembiraan dan mewujudkan suasana kemeriahan di dalam upacara-upacara atau sambutan yang dibenarkan oleh syara’. Umpamanya perkahwinan, berkhatan, sambutan hari raya, menyambut kepulangan musafir (haji dan lain-lain) dan sebagainya. Mereka yang berpendapat demikian ialah sebahagian ulamak mazhab Hanafi, Jumhur mazhab Syafie, sebahagian ulamak mazhab Hanbali, sebahagian ulamak mazhab Maliki dan Ibn Hazm Al-Andalusi.

Pendapat kedua:
Memukul duf diharuskan untuk upacara perkahwinan sahaja. Ia adalah pendapat yang masyhur dalam mazhab Maliki, jumhur fuqaha’ mazhab Hanafi, sebahagian ulamak mazhab Hanbali dan salah satu pendapat fuqaha’ Syafie.

2. Gendang (Tabla)

Para fuqaha’ berikhtilaf pada hukum memukul gendang dan mendengar bunyinya. Pendapat-pendapat mereka adalah seperti berikut:

i. Fuqaha Hanafi dan sebahagian Fuqaha’ mazhab Syafie:
Haram memukul gendang yang bertujuan untuk bersuka ria semata-mata. Sementara fuqaha’ Syafie bersepakat mengharamkan sejenis gendang yang dinamakan ‘Kubah’, sama ada bertujuan untuk bersuka ria semata-mata atau maksud-maksud yang lain.
ii. Fuqah’ Maliki:
Haram memukul gendang dan mendengar pukulannya (dan seluruh jenisnya) melainkan di dalam upacara perkahwinan.
iii. Ulamak Hanafi:
Memukul gendang untuk tujuan-tujuan selain daripada bersuka ria seperti gendang perang, perkahwinan, dan gendang menyambut ketibaan musafir adalah diharuskan. Termasuk di dalam hukum ini, juga gendang sahur yang digunakan pada bulan Ramadhan untuk mengejutkan umat Islam pada waktu sahur.
iv. Fuqaha’ Syafie:
Harus memukul gendang-gendang selain daripada kubah, gendang-gendang untuk bersuka ria semata-mata dan Al-Kabar. Iaitu harus memukul gendang perang, gendang haji, gendang sahur dan gendang hari raya.
v. Fuqaha’ Hanbali:
Haram menggunakan keseluruhan alat yang melalaikan melainkan duf. Mengikut mazhab mereka, haram memukul gendang sama ada dalam upacara perkahwinan atau sebagainya.

3. Al-Kubah, Sejenis gendang yang ramping tengahnya dan lebar kedua hujungnya.

Para fuqaha’ Syafie sepakat mengharamkan alat ini. Pengharamannya sebagaimana yang diriwayatkan daripada Ar-Rafi’ie dan An-Nawawi kerana ia adalah alat yang biasa digunakan oleh lelaki-lelaki pondan. Al-Imam An-Nawawi menyatakan, “...tiada beza antara kubah dengan duf dan gendang-gendang yang lain melainkan kubah, ia adalah alat yang menjadi syiar lelaki-lelaki pondan. Sekiranya tidak, hukumnya sudah pasti seperti hukum duf.”



4. As-Safaqataan, Sejenis alat yang terdiri daripada dua piring tembaga yang dilagakan untuk mengeluarkan bunyi.

Para fuqaha’ dalam menentukan hukumnya terbahagi kepada 4 mazhab :

i. Hanafi, Hanbali dan yang muktamad di dalam mazhab Syafie, iaitu haram memukul dan mendengar iramanya.
ii. Sebahagian ulamak mazhab Syafie, Ibn Hazm Al-Andalusi, Abdul Ghani An-Nablusi dan Ibn Tahir Al-Qaisarani, iaitu harus memukul dan mendengar bunyinya.
iii. Maliki, iaitu harus menggunakannya di dalam upacara perkahwinan sahaja.
iv. Sebahagian fuqaha’ mazhab Syafie, tidak memutuskan hukumnya sama ada halal atau haram.


Hukum Alat Muzik Yang Dipetik [viii]

Para fuqaha’ berselisih pendapat di dalam masalah ini dan mereka terbahagi kepada dua mazhab.

1. Pendapat yang mengharamkannya – sama ada digunakan semasa upacara perkahwinan atau sebagainya. Ia adalah pendapat Ibnu Abbas RA, fuqaha’ Hanafi, fuqaha’ Syafie, fuqaha’ Hanbali dan pendapat yang rajih (terpilih) dalam mazhab Maliki. Ibnu hajar Al-Haitami pula menafikan wujudnya khilaf ulamak di dalam pengharamannya. Sementara Abul Abbas Al-Qurtubi dan Salim Ar-Razi menyatakan berlaku ijmak ulamak di dalam pengharamannya.

Dalil Mereka:
i. Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas bahawa beliau mentafsirkan (lahwul hadith) yang difirmankan di dalam ayat 6 Surah Luqman dengan alat-alat yang melalaikan, dan di antaranya ialah alat-alat muzik. Alat-alat yang dipetik tergolong di dalam alat-alat muzik yang melalaikan.

ii. Diriwayatkan daripada Abdul Rahman bin Ghanam, daripada Abu Malik Al-Asy’ari, beliau mendengar Nabi SAW bersabda: “...Akan ada beberapa kaum daripada umatku yang menghalalkan zina, sutera, arak dan alat-alat muzik (al-ma’azif – lafaz am yang meliputi juga alat-alat yang dipetik – pent.)” – Riwayat Bukhari; ... dan alat-alat yang dipetik adalah sebahagian daripada alat-alat muzik yang disebut di dalam hadith berkenaan.

iii. Daripada Abu’ Umamah, sabda Nabi SAW [ix]: “.... sesungguhnya Allah mengutuskan aku sebagai rahmat kepada sekalian alam. Allah SWT memerintahkan aku menghapuskan alat-alat muzik dan serunai. Oleh itu tidak harus membeli hamba-hamba wanita pemain alat-alat tersebut dan tidak harus menjual, mengajar dan meniagakan mereka. Begitu juga, harga mereka adalah haram.”

iv. Diriwayatkan daripada Rasulullah SAW [x]: Ijmak : Ibnu Hajar Al-Haitami berkata, “...alat-alat yang dipetik adalah alat-alat yang biasa digunakan oleh golongan fasiq dan maksiat. Ulamak telah berijmak pada pengharamannya. Sesiapa yang menyangka ada khilaf pada perkara ini, sesungguhnya telah melakukan kesilapan”.

v. Dalil Aqli:
Alat-alat tersebut menghiburkan dan melalaikan daripada zikrullah, solat dan membaca A-Qur’an. Di samping itu berlaku juga pembaziran wang dan masa.
Alat-alat tersebut adalah syiar golongan fasiq dan maksiat. Islam melarang meniru cara hidup golongan-golongan ini.
Kelazatan yang dihasilkan dengan mendengar alat-alat ini boleh membawa kepada maksiat dan kefasikan.


2. Pendapat yang mengharuskan – Mereka yang berpendapat demikian ialah:

1. Abdullah bin Jaafar, Abdullah bin Zubair, Abdullah bin Umar, Muawiyah bin Abi Sufian, Amru bin Al-‘Aas, Hassan bin Thabit, Abdul Rahman bin Hassan dan Kharijah bin Zaid.

2. Said bin Musayyab, Ata’ , Sya’bi, Az-Zuhri dan kebanyakan fuqaha’ Madinah.

3. Ibnu Thahir menyatakan, “...ia adalah ijmak Ahli Madinah” (dakwaan ijmak ini ditentang sekeras-kerasnya oleh Ibnu Hajar Al-Haitami di dalam kitabnya Kaffur Ri’aa’.
4. Sebahagian fuqaha’ Maliki, tetapi mereka menghadkan pengharusan tersebut untuk upacara perkahwinan sahaja.
5. Al-Mawardi meriwayatkan keharusan penggunaan kecapi (Al-Aud) di sisi sebahagian ulamak Syafie.
6. Ibnu Hazm, Abdul Ghani An-Nablusi, As-Syazili At-Tunisi dan Idfawi mengharuskannya dengan syarat-syarat berikut:

+ Niat yang betul dan tidak bertentangan dengan syara’
+ Tujuan yang tidak melanggar batas-batas syara’.

Dalil Mereka
(a) Perbuatan sebahagian sahabat mendengar petikan kecapi dan memiliki hamba-hamba wanita pemain kecapi, sebahagian diriwayatkan daripada Abdullah bin Zubair, Abdullah bin Umar, Muawiyah bin Abi Sufian dan Amru bin Al-‘Aas.

(b) Ijmak Ahli Madinah sebagaimana yang ditegaskan oleh Ibnu Thahir Al-Maqdisi. Pendapat ini telah ditentang oleh Ibnu Hajar yang mendakwa ia adalah rekaan dan pendustaan Ibnu Tohir semata-mata. [xi]

Alat-alat Yang Ditiup [xii]

Para fuqaha’ di dalam perkara ini terbahagi kepada dua mazhab:

1. Pendapat yang mengharamkannya – mereka yang berpendapat sedemikian ialah:

1. Ibnu Abbas dan Ibnu Umar.
2. Mazhab Hanafi melainkan Nobat yang digunakan untuk tujuan memberi peringatan @ isyarat (tanbih)
3. Mazhab Maliki, melainkan untuk upacara perkahwinan.
4. Mazhab Syafie dan Hanbali

Dalil Mereka

(a) Firman Allah SWT di dalam surah Luqman ayat 6. Ibnu Abbas menafsirkan (lahwul hadith) dengan perkara-perkara yang melalaikan termasuklah alat muzik yang meliputi alat-alat yang ditiup.

(b) Hadith riwayat Nafie’ Maula Abdullah bin Umar [xiii]:
(c) “Ibnu Umar terdengar suara serunai, lantas beliau meletakkan dua jarinya di kedua-dua lubang telinganya dan beredar daripada jalan yang dilaluinya. Beliau berkata kepadaku (Nafie’) : “wahai Nafie’, adakah engkau masih mendengar suara itu?” Aku menjawab, “tidak”. Lalu dia mengangkat kedua-dua jarinya daripada telinganya seraya berkata, “aku dahulu bersama Nabi SAW di suatu ketika, tiba-tiba Baginda terdengar suara seperti suara tadi, lantas Baginda melakukan sebagaimana yang telah aku lakukan.”

(d) Hadith riwayat Abu Umamah, sabda Nabi SAW [xiv]: “... Sesungguhnya Allah telah mengutuskan aku sebagai rahmat ke seluruh alam dan memerintahkan aku menghapuskan seluruh alat-alat muzik dan serunai.”

(e) Hadith riwayat Aisyah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda [xv]: “Dua suara yang dilaknat Allah di dunia dan di akhirat, suara serunai ketika kesenangan dan raungan ketika musibah.”

(f) Hadith riwayat Jabir RA, bahawa Nabi SAW bersabda [xvi]: “Di hari kiamat kelak Allah SWT berkata: “Di manakah hamba-hambaKu yang telah membersihkan pendengaran dan penglihatan mereka daripada seruling-seruling syaitan, pisahkan mereka”. Lalu mereka dipisah dan dikumpulkan di dalam haruman kasturi dan anbar. Kemudian Allah SWT berkata kepada para malaikatNya: “Perdengarkan zikir yang mensuci dan mengagungkan Daku. Lalu mereka diperdengarkan suara yang tidak pernah didengari oleh sesiapa pun sebelum itu.” - Riwayat Ad-Dailami.

(g) Dalil Aqli : Alat-alat tersebut adalah syiar golongan fasiq, maksiat dan peminum-peminum arak. Ia juga biasa menaikkan syahwat dan nafsu. Lantaran itu ia boleh melalaikan daripada mengingati Allah SWT.


2. Pendapat yang mengharuskannya – mereka yang berpendapat demikian ialah:

(a) Ibnu Kinanah daripada fuqaha’ mazhab Maliki yang mengharuskan serunai dan trompet (Al-Bauq) tetapi dengan syarat tidak berlebih-lebihan.

(b) Sebahagian ulamak Syafie mengharuskan penggunaan Al-Yara’ – sejenis seruling.

(c) Ibnu Thahir, Ibnu Hazm Al-Andalusi, Abdul Ghani An-Nablusi, Asy-Syazili At-Tunisi dan Al-Idfawi Asy-Syafie.

Dalil Mereka

1. Hadith yang diriwayatkan oleh Nafie’ Maula Abdullah bin Umar [xvii]: “Ibnu Umar terdengar suara serunai, lantas beliau meletakkan dua jarinya di kedua-dua lubang telinganya dan beredar daripada jalan yang dilaluinya. Beliau berkata kepadaku (Nafie’) : “wahai Nafie’, adakah engkau masih mendengar suara itu?” Aku menjawab, “tidak”. Lalu dia mengangkat kedua-dua jarinya daripada telinganya seraya berkata, “aku dahulu bersama Nabi SAW di suatu ketika, tiba-tiba Baginda terdengar suara seperti suara tadi, lantas Baginda melakukan sebagaimana yang telah aku lakukan.”

Hujah mereka, sekiranya mendengar suara serunai haram, sudah tentu Nabi SAW juga akan melarang Ibnu Umar mendengar suara tersebut. Begitu juga Ibnu Umar akan melarang Nafie’ mendengarnya dan melarang peniup serunai daripada terus meniup serunainya. Ini menunjukkan suara serunai tidak haram. Ada pun perbuatan Nabi SAW yang meletakkan kedua jarinya di telinga dan beredar daripada jalan yang dilalui adalah kerana sifat wara’ yang ada pada diri Baginda SAW.

Hujah mereka ini ditolak oleh ulamak-ulamak kumpulan pertama yang mengharamkannya berdasarkan kepada beberapa sebab: Antaranya ialah kerana terdapat perbezaan di antara As-Simaa’ (terdengar tanpa sengaja) dan Al-Istima’ ( mendengar dengan sengaja). As-Simaa’ sebagaimana yang berlaku di dalam hadith di atas tidak membawa kepada dosa kerana ia berlaku tanpa disengajakan.

2. Dalil Aqli : Alat-alat muzik diharamkan bukan kerana ainnya (zatnya) yang haram, malah hukum haram alat-alat tersebut ditentukan oleh niat dan tujuan ia dimainkan. Ini adalah berdasarkan kaedah Al-Umur bimaqasidiha iaitu sesuatu perkara itu adalah berdasarkan tujuannya (niat).
3. Sebahagian ulamak Syafie yang mengharuskan penggunaan al-yara’ – sejenis serunai, menyatakan bahawa tiada dalil yang tsabit mengharamkan penggunaan alat tersebut.



BERSAMA ABU HAMID AL-GHAZALI

Al-Imam Hujjatul Islam, Abu Hamid Al-Ghazali telah membincangkan permasalahan hukum nyanyian dan muzik dengan panjang lebar dalam kitabnya Ihya’ Ulumiddin dalam juzuk yang kelapan bahagian Al-Adat. Al-Ghazali di dalam perbincangannya telah membahaskan hukum muzik dan alatnya daripada pelbagai sudut sebelum mengeluarkan pandangannya. Beliau tidak hanya berpegang dengan zahir nas malah cuba menggali di sebalik nas, sebab dan ‘illah diharamkan beberapa alat muzik sebagaimana yang disabdakan oleh junjungan besar Nabi SAW dalam hadith-hadith Baginda. Ini bertitik tolak daripada pegangan beliau bahawa nyanyian dan muzik adalah kelazatan-kelazatan dunia yang asalnya adalah halal dan harus. Sebab itulah beliau memasukkan perbincangan beliau tentang hukum hakam nyanyian dan muzik dalam bahagian adat (rub’ul adat). Adat-adat sebagaimana dimaklumi hukum asalnya adalah harus dan halal. (Al-Aslul fil Adat Al-Ibahah – asal di dalam adat adalah harus)

Al-Ghazali menyatakan bahawa irama boleh dihasilkan melalui alatan seumpama serunai, kecapi dan gendang atau melalui kerongkong haiwan atau manusia. Alatan muzik yang direka cipta pada asalnya adalah meniru makhluk-makhluk Allah SWT. Serunai yang direka adalah meniru suara yang dikeluarkan oleh kerongkong haiwan. Seandainya mendengar irama-irama merdu yang dikeluarkan oleh haiwan atau manusia diharuskan maka mendengar irama alat-alat muzik tiada beza hukumnya iaitu harus dan halal. Patut dikiaskan suara (irama) yang dihasilkan oleh alatan seumpama gendang, rebana, serunai dengan suara haiwan dan manusia kerana semuanya adalah suara atau bunyi.

Al-Ghazali menegaskan sebab pengharaman alatan yang dipetik dan ditiup (seperti serunai) sebagaimana yang disebut dalam hadith Nabi SAW bukan kerana alatan tersebut menimbulkan kelazatan kepada pendengar. Sekiranya demikian sudah tentulah diharamkan semua jenis suara atau irama yang membangkitkan kelazatan kepada pendengar. Kerongkong manusia, gendang, rebana kecil (duf) dan binatang-binatang seperti burung mempunyai potensi untuk menghasilkan irama-irama merdu yang mampu membangkitkan kelazatan di dalam sudut hati pendengar. Walau bagaimanapun Islam tidak mengharamkan suara-suara tersebut. Oleh itu Al-Ghazali menyatakan sebab pengharaman alatn yang disebut di dalam hadith-hadith Nabi SAW adalah kerana alatan-alatan tersebut biasa digunakan oleh ahli-ahli fasiq, maksiat dan peminum-peminum arak dan menjadi syiar mereka. Al-Ghazali seterusnya menghuraikan sebab tersebut di dalam noktah-noktah di bawah:


i. Irama alatan tersebut mengajak pendengar kepada arak kerana kelazatan iramanya disempurnakan dengan meminum arak. Hal ini ada persamaannya dengan pengharaman meminum sedikit arak walaupun ia tidak memabukkan kerana boleh membawa kepada meminum kadar arak yang boleh memabukkan.

ii. Kepada orang yang baru berjinak dengan arak, bunyi-bunyi alatan tersebut boleh mengingatkannya kepada majlis-majlis arak. Perlakuan “mengingat” ini boleh membawa kepada perlakuan meminum arak.

iii. Alat-alat tersebut adalah syiar ahli fasiq dan maksiat. Mereka menggunakan alatan tersebut untuk bersuka ria di dalam majlis-majlis mereka. Berdasarkan kepada sebab ini, digalakkan meninggalkan perkara-perkara sunnah yang menjadi syiar ahli bid’ah untuk mengelakkan menyerupai mereka. Pengharaman al-kubah adalah kerana ia biasa digunakan oleh lelaki-lelaki pondan. Sekiranya tidak sudah tentu tiada beza antaranya dengan gendang haji, gendang perang dan seumpamanya.

Begitulah pandangan Imam Al-Ghazali tentang hukum penggunaan alat-alat muzik. Beliau melihat di sana wujudnya sebab diharamkan alat-alat yang disebut pengharamannya melalui lisan Nabi SAW. Sekiranya hilang (gugur) sebab tersebut sudah tentulah gugur hukum pengharamannya. Bagi beliau semua perkara yang baik (At-Thayyibat) adalah halal melainkan perkara-perkara yang boleh membawa kepada kerosakan.


Firman Allah SWT:

“Katakanlah wahai Muhammad, siapakah yang mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkan untuk hamba-hambaNya dan mengharamkan rezeki yang halal.” – Surah Al-A’raaf : 3

Justeru itu suara dan irama yang dihasilkan melalui alat-alat muzik, tidak haram ain atau zatnya tetapi ia menjadi haram hukumnya disebabkan unsur-unsur luaran sebagaimana diterangkan di atas.



PENDAPAT ULAMAK-ULAMAK MASA KINI TENTANG MUZIK

Ulamak-ulamak Islam masa kini tidak ketinggalan menyumbangkan pandangan-pandangan mereka terhadap hukum muzik yang menjadi titik perbezaan pendapat di kalangan ulamak sejak zaman berzaman. Mereka terbahagi kepada dua golongan, iaitu golongan yang mengharuskannya dan golongan yang mengharamkan. Mereka yang mengharamkan berpegang kepada nas-nas Al-Quran dan sunnah serta ‘illah yang disebut oleh ulamak-ulamak terdahulu. Cuma ada juga khilaf di kalangan mereka tentang alat-alat yang diharuskan. Ada juga yang menghadkannya kepada duf sahaja. Mereka ini pula berikhtilaf lagi pada keadaan-keadaan dibenarkan memukul dufdan siapakah yang diharuskan menggunakannya.

1. Pendapat pertama menyatakan bahawa duf hanya boleh digunakan di dalam upacara-upacara perkahwinan, hari raya, dan suasana-suasana kegembiraan yang lain seperti berkhatan. Hanya kaum perempuan sahaja yang dibenarkan memukul duf. Pendapat ini ialah pendapat Syeikh Abdul Aziz bin Baz, Syeikh Saleh Fauzan, Syeikh Muhammad bin Saleh Al-‘Usaimin dan Syeikh Nasiruddin Al-Albani. Mereka bersandarkan kepada mazhab Hanbali. [xviii]

2. Pendapat kedua pula menyatakan duf boleh digunakan dalam semua keadaan dan boleh dipukul oleh kaum lelaki dan wanita.

Golongan yang lain pula ialah ulamak-ulamak masa kini yang mengharuskan penggunaan duf dan gendang sahaja bersandarkan kepada pendapat-pendapat ulamak terdahulu sebagaimana yang telah diterangkan di dalam helaian-helaian yang terdahulu.

Seterusnya ada ulamak-ulamak masa kini yang mengharuskan penggunaan seluruh alat muzik tanpa ada pengecualian tetapi mereka meletakkan syarat-syarat dan batas-batas penggunaan alat tersebut agar tidak bertentangan dengan hukum Allah SWT. Mereka yang berpendapat demikian antaranya ialah:

1. Dr. Yusuf Al-Qardhawi di dalam kitabnya Malamih Al-Mujtama’ Al-Muslim.

2. Dr. Abdul Karim Zaidan dalam bukunya Al-Mufassal fi Ahkam Al-Mar’ah wa Baitil Muslim juzuk 4 bab 8 iaitu Babul Lahwi wal La’ab.

3. Dr. Mohammad Imarah di dalam bukunya Al-Islam wal Funun Al-Jamilah.

4. Dr. Kaukab ‘Amir dalam bukunya As-Simaa’ ‘Inda As-Sufiyyah.




Pendapat mereka sama dengan pandangan beberapa ulamak terdahulu seperti Ibnu Hazm Al-Andalusi, Ibn Tahir Al-Qaisarani, Abdul Ghani An-Nablusi, Al-Kamal Jaafar Al-Idfawi Asy-Syafie dan Al-Imam Mohd. Asy-Syazili At-Tunisi.

Sebahagian daripada mereka seperti Al-Qardhawi berpendapat demikian kerana hadith-hadith yang mengharamkan alat-alat muzik pada pandangan beliau sama ada sahih ghair sarih (sahih tetapi tidak nyata) ataupun sarih ghair sahih (nyata tetapi tidak sahih). Nas-nas yang seumpama ini tidak mampu untuk memutuskan hukum kerana hukum mestilah diputuskan dengan nas yang sahih wa sarih (sahih dan nyata). [xix]

Sebahagian yang lain pula seperti Dr. Abdul Karim Zaidan dan Dr. Kaukab A’mempunyai pandangan yang sama dengan Al-Ghazali. Mereka menyatakan pengharaman alat-alat yang disebut di dalam nas-nas hadith adalah kerana ia merupakan syiar ahli fasiq dan maksiat. Pada pandangan mereka muzik tidak haram dari sudut irama atau bunyinya. Tetapi yang menjadikannya haram ialah unsur-unsur luaran yang lain iaitu ia adalah alatan yang biasa digunakan di dalam majlis-majlis dan tujuan-tujuan yang bertentangan dengan batas syara’. Justeru itu alat-alat tersebut tunduk kepada perubahan tempat dan masa. Penggunaan alat-alat ini juga mestilah berlegar dala lingkungan yang dibenarkan oleh syara’.

Artikel ini dipetik daripada hasil tulisan:
Wan Muhammad Wan Sulong,
Yarmouk University,
Irbid, Jordan,
16 Zulhijjah 1416H bersamaan 4 Mei 1996M.

Saturday, June 12, 2010

Yang Remeh Bukan Temeh: Mulus Berbahasa

“Tak baik langkah duit. Berdosa!” pesan opah.

Anak cucu tersengih.

Tunduk mengutip duit syiling yang bertaburan di lantai.

Bukan banyak pun, kalau dicampur-campur mungkin jauh daripada cukup untuk membeli sebatang ais krim berjenama popular di kedai.

Anak cucu yang bijak laksana itu mula bertanya sesama sendiri, kenapa pula berdosa melangkah duit? Bukannya ada apa-apa firman pada kepingan tembaga dan besi itu. Malah nilainya juga serendah satu sen. Mereka ada jawapan, bahawa opah memang sengaja begitu. Banyak benar pesannya. Dalam pesan yang sederet itu, banyak pula yang remeh temeh.

Antara anak cucu itu adalah saya.

Anak kecil yang tidak mengerti mengapa opah begitu banyak pantang larangnya.

Semakin saya pandai, semakin remeh nasihat opah saya perhatikan.

Segalanya mula menunjukkan makna, hanya apabila saya berhenti menilai nasihat opah dengan akal. Opah memberi nasihat bukan dari akal, tetapi dari hati. Hanya dengan merenung menerusi mata hati, nasihat opah menampakkan bijaknya.

PENGAJARAN DI ISTANBUL

Cuti musim panas itu, saya bertandang ke rumah Mahmud yang terletak di Draman, Istanbul.

Malam itu panas.

Sebelum kami melelapkan mata, saya meminta segelas air masak untuk membasahkan tekak. Mahmud mengambil cawan yang tersimpan di rak pinggan, membasuhnya terlebih dahulu sebelum diisi dengan air yang diminta.

Hairan…

Mengapa pula cawan yang sudah bersih itu mahu dibasuh dahulu sebelum dituang air?

Soalan itu timbul semula apabila saya berbual dengan Pakcik Mehmet di Bolvadin, Afyon.

“Mengapa nama Pakcik adalah Mehmet, sedangkan nama Rasulullah itu Muhammad? Kenapa yang itu Muhammad dan yang ini Mehmet? Maknanya sama, sebutannya berbeza!” saya mencari jawapan.

“Oh, tiada apa-apa rahsia. Biarlah yang mulia itu sahaja namanya Muhammad. Untuk kita-kita, sebut sahaja Mehmet. Supaya kalau ada di kalangan Mehmet ini yang mencuri telur ayam, maka yang disebut nanti ialah Mehmet si pencuri telur ayam. Bukan Muhammad. Nama yang baik itu terselamat daripada dinisbahkan kepada perbuatan buruk mencuri telur ayam!” jelas Pakcik Mehmet.

Oh, begitu!

Baru saya faham, orang Turki itu orang yang berhalus. Mengambil kira benda-benda yang sering dianggap kecil. Apabila mereka sudah sebati dengan sikap sedemikian, maka kebersihannya bukan setakat cawan yang sudah dibasuh perlu ditos dengan air, malah setiap inci rumah dijaga kebersihannya. Tong sampah juga harus bersih. Tong sampah bukan sampah, maka tong mesti dijaga kebersihannya.

Dengan pandangan yang teliti pada yang kecil, kesannya nampak pada seni masjid, seni ukiran, seni pakaian malah seni bunyi, seni tari dan seni lagu. Semuanya menjadi halus dan tinggi. Keindahan tidak meremeh temehkan benda yang kecil, tumpah pada manusia, dan alam sekitar yang dihuninya. Lebih teliti, lebih indah seninya.

PENGAJARAN DIBAWA PULANG

Teringat semula kepada nasihat opah.

Opah yang jahitan bajunya kemas. Tekat bantalnya halus. Bahasa bualnya lunak. Malah lenggok tarian zamannya lembut, dan lagu juga indah di telinga.

Halus…

Di dapur opah, lauk pula cukup rempah-pawahnya. Bawang betul berhiris. Ikan molek disiang. Serai halus dititik, cili cantik berpotong.

Saya baru mampu melihat, bahawa opah itu orangnya berkira. Mengira yang kecil-kecil.

Langkah duit dosanya bukan pada melangkah itu. Salahnya ialah pada meremehkan benda kecil.

Segera saya teringat, ketika Nabi Yusuf memberikan saranan bahawa tugas paling cocok buat dirinya adalah sebagai Bendahara negara Mesir, beliau berkata, “jadikanlah aku pemegang harta negara. Sesungguhnya aku ini seorang yang teliti lagi berilmu” [Q 12: 55]

Kelayakan bukan hanya pada berilmunya seseorang itu menguruskan kewangan, malah pada sikap telitinya pada apa yang dihitung sebagai amanah.

Tatkala duit satu sen atau sepuluh sen tidak dibiarkan bersepah di belakang kerusi atau bawah almari, itulah cermin kepada sikap telitinya seseorang dalam kehidupan. Orang yang lebih jelas kelayakan dirinya, memegang amanah dengan integriti.

Itu jugalah semangat yang diajar dalam berwudhu’. “Jangan membazir air, walaupun kamu di sungai,” pesan Nabi Muhammad. Berjimat bukan soal kekurangan bekal. Tetapi latihan membentuk sikap. Peka dengan keperluan, dan mengguna pakai seadanya, biar pun pada sekecil soal wudhu’ di tebing sungai.

KECIL-KECIL YANG BESAR

“Tolong-tolong!” jerit penduduk kampung.

Mereka gempar melihat kelibat harimau melintas desa.

Besarnya harimau, dengan taring yang mencarik tubuh, tentu sahaja terbit rasa gerun di empat penjuru kampung. Semua takut kehilangan nyawa, dek harimau yang gagah perkasa itu.

Tetapi berapa sangatlah dalam setahun, manusia mati dibaham harimau? Di sebuah negara yang masih kaya dengan hutan belantara seperti Malaysia, terhitungkah jari bilangan mangsa keganasan harimau? Ada lima puluh? Usahkan lima puluh, mahu dicari lima pun payah!

Jarang benar manusia mati dibaham harimau.

Tetapi bagaimana dengan nyamuk?

Berapa ramaikah manusia yang mati kerana menjadi mangsa gigitan nyamuk di negara kita?

Sehingga ke minggu ke-12 tahun 2010, negara mencatatkan jumlah kes demam denggi sehingga 12,157 dengan 43 kematian! Jumlah itu sangat besar. Lebih membimbangkan, kes demam denggi ini tertumpu di kawasan pembangunan bersama kepadatan penduduk yang tinggi. Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Johor adalah di antara negeri yang mencatatkan kes demam denggi tertinggi.

Ketika kegerunan kita masih berlegar pada haiwan sebesar dan seganas harimau, akhirnya kita tumpas dengan seekor nyamuk!

Yang kecil. Yang dilihat remeh. Tetapi tidak temeh.

Wabak demam denggi itu adalah peringatan untuk kita semua. Amaran bahawa sikap meremehkan perkara kecil, boleh menjadi besar. Apalah sangat usaha menerbalikkan bekas air yang bertakung di depan rumah, atau membersihkan pinggan melapik pasu bunga. Terlalu remeh, jika mahu dinisbahkan dengan tanggungjawab-tanggungjawab lain yang lebih besar dalam rutin seharian kita.

Namun akhirnya, sikap itulah yang mengundang musibah.

Jika generasi ibu bapa kita dahulu memberi pesan bahawa sikit-sikit lama jadi bukit, kini dengan sikap meremehkan perkara kecil itu, peribahasa berubah makna. Bukan lagi yang sikit menjadi bukit, tetapi merebakkan wabak dan penyakit.

Sukar benar untuk dunia yang besar ini diselamatkan, selagi manusia lupa kepada perkara yang kecil-kecil dalam hidupnya. Apalah sangat sekeping tisu yang dicampak dari tingkap kereta. Besar sangatkah masalah kalau sebuah mentol menyala tanpa keperluan?

Soalnya bukan saiz tisu atau mentol.

Isunya adalah SIKAP.

Hilangnya kepekaan terhadap persekitaran, meremehkan benda-benda kecil yang disangka tiada kepentingan, segalanya menjadi sumber musibah dan bencana apabila ia digandakan dengan bilangan manusia. Bukan seorang yang membuang sampah begitu, bukan seorang yang membiarkan mentol menyala seperti itu.

Sedikit-sedikit, lama-lama jadi penyakit.

SARANAN

Bercita-cita biar besar.

Tetapi bertindak, mulakan dengan yang kecil.

Tidak guna mengangankan sebuah rumah yang lengkap dengan landskap Jepun atau Bali ketika bajet tidak mengizinkan. Andaikata di poket hanya ada RM5, belilah penyapu dan sapu sampah di halaman. Jika setiap rumah menyapu halaman, nescaya bersihlah satu negara.

Terlalu jauh mengejar impian, untuk mengusahakan sebuah dunia yang aman tanpa konflik dan peperangan. Tetapi mulakanlah dengan langkah yang sebenarnya di lingkungan kemampuan kita.

“Pulanglah ke rumah, kasihilah keluargamu!” itu pesan Mother Theresa suatu ketika dahulu.

Yang besar itu impian.


Yang gah itu harapan.

Yang sederhana itu keseimbangan.

Yang kecil itu permulaan.

Peliharalah yang kecil-kecil itu.



Yang remeh, bukan temeh.

Artikel ini disiarkan di Majalah Mutiara Minda keluara MPH edisi Mei 2010 sebagai sebahagian galakan pembangunan Bahasa Melayu sebagai wadah ilmu

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG

Friday, July 31, 2009

Dosa ISA musnahkan institusi keluarga

Norlaila Othman

Dalam siri jelajah perkongsian mangsa ISA, saya berkesempatan bertemu wanita-wanita yang tinggal di pedalaman Kedah, Johor dan Pahang. Rupa-rupanya ramai lagi rakyat Malaysia yang pernah ditahan di bawah ISA, tetapi penahanan itu tidak direkodkan kerana pelbagai sebab antaranya, tahanan tidak mahu menghebohkan penahanan itu, mungkin kerana mematuhi arahan pegawai penyiasat cawangan khas dan mungkin juga rasa malu kerana ditahan di bawah ISA yang amat ditakuti oleh rakyat Malaysia.

Bicarakanlah dia ...

"Kenapa saya tidak pernah jemu memberitahu supaya Abah Suhaib dibicarakan? Kerana saya mahu ada pendakwaan oleh pendakwa raya, bukti-bukti dikeluarkan selari dengan tuduhan dan akhirnya, hakim yang membuat keputusan di mahkamah itu. Jika hakim menyatakan beliau tidak bersalah, nama baik beliau dapat dibersihkan.

"Namun jika beliau bersalah dan terpaksa menjalani hukuman, sekurang-kurannya saya tahu tarikh akhir pemenjaraannya dan beliau sendiri tahu tarikh tetap untuk keluar daripada kehidupan sebagai seorang banduan," kataku kepada semua yang hadir ke sesi perkongsian itu.

Semua tahanan ISA dinafikan proses mahkamah dan mereka tidak pernah mengetahui tarikh akhir berada di Kem Kamunting. Kehidupan mereka berada dalam keadaan tidak pasti sepanjang masa.

Bezanya ISA dengan akta lain ialah, dalam ISA seseorang pesalah itu tidak dibenarkan mendapatkan peguam untuk mewakili dirinya, tiada pendakwaan oleh pendakwa raya, tahanan tidak boleh diikat jamin, tiada bukti yang dikeluarkan selari dengan tuduhan, tiada proses perbicaraan, tiada hakim dan tiada mahkamah yang menjadi tempat segala proses perbicaraan.

Peguam bela, pendakwa raya, bukti-bukti, hakim dan mahkamah semuanya berada di tangan Menteri Dalam Negeri yang kuasanya terlalu besar. Menteri ini pula biasanya tidak tahu apa-apa mengenai mangsa ISA. Menteri Dalam Negeri bebas menjatuhkan hukuman melanjutkan penahanan setelah mendapat laporan daripada polis cawangan khas (Special Branch).

Wanita adalah mangsa utama ISA

"ISA sebenarnya bukan saja akta zalim tetapi juga akta yang menindas golongan wanita kerana mereka (isteri)lah yang akan menerima kesannya ketika suami tiada di rumah.

Perasaan isteri amat tertekan dengan penahanan suami, namun terpaksa juga keluar mencari nafkah untuk menyara anak-anak dan meladeni mereka yang pastinya akan bertanya setiap hari, bilakah ayah mereka akan pulang ke rumah.

"Selain menjalankan kewajipan menguruskan anak-anak, wanita malang ini juga terpaksa bersusah payah membawa anak-anak bermusafir beratus-ratus kilometer dari tempat tinggal mereka ke Kem Kamunting.

"Di Kem Kamunting, mereka kemudian terpaksa melalui pemeriksaan di tiga pintu utama dan berpuas hati dengan pertemuan selama 45 minit ...," kata saya lagi.

Tiada siapa yang akan menyangkal dakwaan ini, hatta Menteri Dalam Negeri sekalipun kerana saya sudah mengalaminya lebih tujuh tahun ... dan hingga saat ini, saya masih didiskriminasikan dalam setiap perjumpaan.

Dari tahun 2002 hingga kini, saya dan Suhaib hanya dapat bertemu Mat Sah @ Abah Suhaib selama 45 minit saja. Walaupun beliau, iaitu Abah Suhaib telah ditahan lebih tujuh tahun, tiada sebarang tanda simpati pihak kem kepada kami berdua.

Sewaktu tahanan Hindraf belum dibebaskan, mereka berpeluang bertemu di tempat terbuka antara sejam setengah hinggalah dua jam. Mereka boleh bersalam, bersentuhan dan boleh makan bersama.

Begitu juga dengan tahanan ISA yang dituduh sebagai ahli 'Jemaah Islamiyyah' (JI) yang ditahan selama dua tahun di kem, mereka dan isteri serta anak-anak dapat bertemu di tempat terbuka selama sejam setengah, suami dapat bersalam dengan isteri dan anak-anak serta berpeluang makan bersama.

Tetapi aku dan Suhaib, walaupun status kami dengan tahanan JI lain serta Hindraf adalah sama iaitu sebagai tahanan ISA, kami tetap dianak-tirikan oleh pengurusan kem yang sering berselindung di sebalik kata-kata, "kami hanya mengikut arahan orang atas".

Derita tujuh tahun ...

"Jika puan mahu suami segera dibebaskan, tulislah surat pada Tuan Ayub dengan segera. Tuan Ayub adalah pegawai tertinggi SB yang menjaga semua tahanan ISA. Puan tulislah surat dan merayu pada Tuan Ayub bahawa puan dan suami memang benar-benar bersalah dan mohon dimaafkan segala kesalahan itu.

"Dengan permohonan maaf tersebut, rasanya hati Tuan Ayub akan lembut dan akan segera memberi cadangan supaya Mat Sah dibebaskan," kata seorang SB kepada saya.

"Saya mohon maaf dan mengaku bersalah? Apa yang telah saya lakukan? Orang yang ditahan di bawah ISA ialah suami, kenapa saya pula yang kena mohon maaf bagi pehak dia?" saya bertanya semula pada SB tersebut.

Abah Suhaib ditahan lebih tujuh tahun, tidak pernah dibicarakan dan kini, untuk melihat dia bebas, saya pula yang terpaksa menulis surat memohon maaf. Tujuh tahun Suhaib membesar tanpa bapa.

Tujuh tahun kami berdua terpaksa menerima herdikan pihak tertentu yang tidak memahami ISA. Tujuh tahun Suhaib membesar tanpa sebarang nafkah, kasih sayang, bimbingan dan perhatian daripada bapanya.

Sepanjang tujuh tahun itu, apabila mata Abah Suhaib rabun, sayalah yang terpaksa mengeluarkan duit untuk membeli cermin mata baru.

Ketika lutut beliau terseliuh ketika bermain, saya juga yang terpaksa membelikan 'braces' yang agak mahal untuk digunakan di lutut yang cedera itu.

Apabila gigi beliau rosak dan perlu dibuang, saya juga terpaksa mengeluarkan wang untuk membeli gigi palsu.

Dan setiap bulan, saya juga terpaksa memberi wang poket supaya beliau berpeluang untuk membeli makanan selain daripada yang disediakan oleh Kemta seperti biskut kering, gula-gula dan kacang. Abah Suhaib juga punya keinginan untuk membaca majalah dan buku-buku dari luar. Sayalah juga yang menyediakan segala keperluan itu.

Ketika ditahan di bawah ISA pada tahun 2002 dulu, beliau dikatakan bersalah kerana menjadi ahli JI, dan kini, setelah tujuh tahun, saya pula yang terpaksa menulis surat mohon maaf kepada SB sekiranya saya ingin melihat beliau kembali ke pangkuan keluarga.

Saya terpinggir

"Nama saya Suhaib. Kini saya berusia 16 tahun. Hampir separuh usia saya membesar tanpa abah walaupun beliau masih hidup. Saya membesar bertemankan pertemuan selama satu jam setengah dalam sebulan. Saya sekadar mengikuti nasihat dan kata-kata beliau melalui surat-surat kiriman beliau.

"Jika terlalu rindu padanya, saya akan pakai baju dan guna kain pelikat milik abah. Saya letak gambar Abah di dompet duit. Sejak berusia 9 tahun, saya tidak pernah solat dan baca Quran bersama Abah. Saya tidak mengharapkan duit belanja atau keluar membeli belah kerana memahami semua itu tidak mungkin dapat dilakukan bersama.

"Namun, satu perkara yang amat memedihkan ialah apabila saya melihat Abah di sebalik cermin kaca. Ketika itu, saya teringat binatang di zoo yang diletakkan di dalam kotak kaca. Setiap kali melawat Abah, saya hanya berpeluang bercakap melalui interkom dan duduk di sebalik kaca.

"Saya hanya dapat melihat wajah Abah, tetapi tidak dapat menyentuhnya ... hatiku memang pedih yang teramat sangat. Walaupun sudah tujuh tahun saya dipisahkan daripada Abah, tiada sebarang tanda beliau akan dibebaskan.

"Walaupun ada dua pembebasan beramai-ramai yang mendapat tempat di media dan akhbar, namun Abahku masih dinafikan pembebasannya. Saya yakin Allah sedang menyediakan sesuatu yang lebih baik untuk Abah kerana dia terus menerus dizalimi.

"Perpisahan dengan Abah benar-benar membuat saya rasa terpinggir. Saya juga ingin meneruskan kehidupan sama seperti orang lain yang punya keluarga yang lengkap. Saya tetap berdoa supaya Abah segera dibebaskan ..."

Saya benar-benar tersentak dengan testimoni Suhaib yang ingin diluahkan di hadapan Vijay, salah seorang wartawan Malaysiakini. Suhaib kelihatan tenang dan bersahaja namun tidak disangka, luahan hati beliau amat pilu untuk dibaca ...

Ikutilah jalan Allah

Allah mencipta kita sebagai insan yang bebas dan merdeka. Allah telah menurunkan al-Quran dan mengutus rasul serta nabi untuk dijadikan contoh supaya menjalani kehidupan yang sempurna. Allah telah menggariskan supaya manusia menjadikan keadilan sebagai neraca hidup dan mengelakkan menzalimi sesama manusia.

Tetapi ... kenapa mesti ada peraturan buatan manusia yang menafikan hak dan kebebasan manusia lain sampai begitu rupa? Lupakah kita pada satu ayat 113 dalam Surah Huud yang bermaksud: "Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim ..."

Ingatlah pada ayat 58 dari Surah An-Nisa yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya dan menyuruh kamu apabila menetapkan hukum sesama manusia agar menetapkan dengan adil ..."

Allah menyediakan syurga dan neraka sebagai hadiah dan pembalasan kepada makhluk ciptaan-Nya, namun sebelum seseorang itu dihantar ke syurga atau neraka, semua makhluk akan melalui proses perbicaraan di padang Mahsyar.

Allah Maha Besar, Maha Kuasa, Maha Pencipta, Maha Mengetahui, menyediakan 'trial' atau perbicaraan ke atas semua makhluknya di akhirat nanti. Kenapa ISA , akta tahan tanpa bicara masih dihalalkan? Siapakah yang menjadi ikutan? Allah ataupun syaitan?

Kepada semua rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dan bencikan kezaliman, marilah sama-sama serlahkan perasaan itu dengan menghadiri himpunan aman MANSUH pada 1 ogos nanti.

Pada sesiapa yang tidak dapat menghadiri kerana ada sebab-sebab peribadi, cubalah juga luahkan dalam bentuk lain seperti mengibarkan bendera separuh tiang, berpakaian hitam ketika keluar rumah dan sebagainya.

MANSUHKAN ISA, BEBASKAN TAHANAN ISA dan TUTUP KEM KAMUNTING! _

Wednesday, June 24, 2009

Saya Bukan Ahli Politik, Tetapi…

“Aih, di sini pun cakap politik juga”, keluh seorang pembaca.

“Ingatkan berkecuali. Rupa-rupanya sama sahaja si Abu Saif ni!”, rungut pembaca yang satu lagi pula.

“Saya tak suka cakap-cakap politik ni. Boleh tak elakkan politik di sini?”, minta seorang lagi pengunjung.

Panas juga. Tak pernah-pernah Abu Saif menulis tentang politik, tiba-tiba semenjak kebelakangan ini, lain pula nadanya. Saifulislam.Com sudah mula berpolitik?

Saya bukan ahli politik. Tidak terfikir di minda saya untuk menjadi seorang ahli politik. Ahli politik dalam erti kata berkempen politik, berceramah di pentas politik, atau mungkin juga bertanding sebagai ADUN atau Ahli Parlimen, menggantikan Lim Kit Siang yang sudah sekian lama mewakili orang kampung saya.

Saya bukan ahli politik.


Tetapi ini tidak bermakna saya buta politik, atau berkecuali dari berfikir tentang politik, apatah lagi menganggap politik bukan urusan saya dan bukan urusan agama. Saya bukanlah peminat Khomeini, tetapi ada kata-katanya yang patut diberi perhatian. Beliau pernah menyebut, “orang yang memisahkan politik dari agama, dia itu tidak faham apa itu agama, dan apa itu politik”.

Jahil terhadap kedua-duanya.

Apabila saya berbual atau menulis tentang politik, saya maksudkan ia sebagai disiplin mengatur kehidupan manusia. Tentang peraturan hablun minannaas yang merupakan separuh kedua agama kita. Mahu tidak mahu, kita tetap merupakan sebahagian dari politik. Sama ada kita berperanan mencorakkan politik, atau kita sendiri menjadi mangsa percaturan politik akibat buta politik. Atau sengaja memejamkan mata terhadapnya.

Soal keterlibatan seseorang dengan perlakuan politik, itu soal kedua. Apatah lagi jika anda seorang pelajar. Biar pun undang-undang negara telah mewartakan anda pada usia begitu sebagai seorang yang layak mengundi, anda ada peraturan-peraturan universiti yang tidak boleh dikesampingkan begitu sahaja. Maka soal keterlibatan pelajar dengan politik, saya serahkan kepada anda untuk membuat percaturan mengenainya.

Tetapi tidak terlibat dengan politik, tidak bermakna kita tidak boleh belajar, mengambil tahu dan membuat pendirian mengenainya. Buangkan jauh-jauh nama parti politik yang kalian tidak suka, isu-isu yang mereka bawa tetap tidak boleh kita pisahkan dari kehidupan.

Jika isu tol, kenaikan harga minyak, kepincangan sosial, pembelajaran sains dan matematik di dalam Bahasa Inggeris dan korupsi serta kronisma dan nepotisma… kita kaitkan dengan parti politik tertentu, jika parti politik itu mati sekali pun, isu-isu berkenaan tetap merupakan masalah kita, masyarakat kita. Parti politik adalah kenderaan dan wadah untuk memperkata dan memperjuangkan isu-isu tersebut, tetapi tanpa parti politik sekali pun, isu berkenaan tetap wujud di depan mata.

Maka Islam mempersoalkan peranan kita terhadapnya. Ada istilah amar makruf, ada istilah nahi munkar. Bagaimanakah anda melaksanakan dua tanggungjawab ini, terhadap isu-isu yang saya sebutkan tadi.

Jika kita alah dengan parti politik, ia bukan alasan untuk kita buat tidak peduli kepada masalah yang membelenggu kehidupan kita dan masyarakat. Biar pun hadith , “barangsiapa yang tidak mengambil berat tentang urusan umat Islam maka dia itu bukan dari kalangan mereka” itu dihukum sebagai hadith yang sangat lemah oleh al-Albani, apakah ini juga bermaksud saranan Islam agar seorang Muslim menjaga kebajikan saudara Muslimnya yang lain juga lemah?

Pernahkah Nabi SAW sambil lewa terhadap apa yang berlaku kepada sahabat, juga komuniti non-Muslim di sekitarnya? Apakah ada orang yang tertindas, ditekan dan dizalimi, dan Nabi SAW tidak peduli kepada nasib mereka?

Renung sahaja amaran Allah SWT:


“Tahukah engkau akan orang yang mendustakan ugama? Orang itu ialah yang menindas serta berlaku zalim kepada anak yatim, dan ia tidak menggalakkan untuk memberi makanan yang berhak diterima oleh orang miskin. maka kecelakaan besar bagi ahli sembahyang (iaitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya. (juga bagi) orang-orang yang berkeadaan riak (bangga diri terhadap amalannya), dan orang-orang yang tidak memberi sedikit pertolongan (kepada orang yang berhak mendapatnya)” (Al-Ma’oon 107 : 1-7)



Pendusta agama yang diperincikan oleh Allah karakter mereka adalah golongan yang tidak melaksanakan tanggungjawab sosial, sebelum Allah menyebut kecacatan ibadahnya. Di peringkat massa, kebajikan anak yatim, membela kaum fakir miskin, adalah persoalan-persoalan yang membabitkan banyak aspek. Bagi kita sebagai rakyat, ia boleh dilaksanakan dengan pelbagai cara. NGO dan badan-badan kebajikan boleh berperanan dalam membantu hal ini.

Tetapi bagi sebuah negara, ia bertanggungjawab untuk memastikan kebajikan rakyatnya terjaga. Polisi-polisi harus memberikan keadilan dan kesejahteraan hidup kepada masyarakat. Semua ini bersangkutan dengan politik kerana politik itulah medan urusan ini ditadbir dan dijaga.

Apakah kita bisa membiarkan diri menjadi pendusta agama dengan tidak mempedulikan tanggungjawab ini?

SAIFULISLAM.COM DAN PENDIRIAN POLITIK

Soal Abu Saif memilih parti mana, itu perkara yang berasingan. Tetapi wacana saya di sini menyeru kepada kita semua agar cintakan kebenaran dan keadilan. Sebagaimana kita suka menyuburkan kebenaran di pelbagai peringkat kehidupan, saya juga mahu kita peka kepada lawan kebenaran itu. Kebatilan tidak boleh disembunyikan. Ia mesti diperkatakan.

Allah mengutuskan setiap nabi dan rasul kepada umat, bukan hanya untuk mengajak manusia kepada mengabdikan diri kepada-Nya, tetapi juga menjauhkan manusia dari saingan Allah. Al-Quran mengistilahkan saingan ini sebagai taghut, iaitu pelampau yang melampaui batas-batas Allah. Ia mungkin manusia, mungkin sistem. Lantas tanggungjawab amar makruf dan nahi munkar, menuntut kita untuk bukan sahaja cintakan kebaikan, tetapi juga mengambil bahagian dalam bertindak mengatasi kebatilan.

Tidak semestinya dengan membabitkan diri sebagai aktivis politik. Tetapi mustahil kita boleh berperanan jika kita buta politik atau jahil mengenainya.

MENYALAH TAFSIRKAN SAIFULISLAM.COM

Saya mendapat feedback daripada pembaca, bahawa ada golongan yang menjadikan artikel-artikel saya sebagai hujah mereka untuk menolak agenda BERSIH yang menuntut pilihanraya yang adil dan telus. Kata mereka, “lihat, Ustaz Hasrizal sendiri mengajak kita kepada perdamaian”.

Ya, saya mengajak kepada kedamaian. Tetapi bukan secara berkompromi dengan kebatilan. Saya sering berusaha mengajak semua daie yang cintakan Islam untuk bersatu, tetapi bukan atas nama kesatuan itu, perkara batil kita diamkan.



Bila kalian mendapati keadaan di mana umatku takut untuk berkata kepada orang zalim, “Wahai zalim”, maka kamu telah diucapkan selamat tinggal daripada mereka (HR. Ahmad)

Oleh yang demikian, tidak pernah dalam mana-mana artikel saya, ada cadangan agar kita memansuhkan politik dari pengetahuan dan perhatian kita. Apa yang sering saya kongsikan bersama pembaca, ialah agar kita menekuninya sebagai sebahagian daripada definisi diri kita menjadi hamba dan khalifah kepada-Nya.

Malah di peringkat pertubuhan-pertubuhan Islam, mereka boleh mengambil pendekatan untuk tidak terlibat dengan politik atas pertimbangan-pertimbangan tertentu. Tetapi ia sepatutnya dilakukan hanya untuk pengkhususan bidang dan strategi, dan bukannya menolak politik secara prinsip.

Maka, janganlah sekali-kali mereka yang berjuang di dalam NGO, menabur idea bahawa “perjuangan kami lebih baik dari perjuangan kamu sebab kami NGO yang selamat, sedangkan kamu parti politik yang mencampakkan diri ke kebinasaan!”. Ini bukan bahasa da’ie yang tulus dalam perjuangannya.

ULTRA SALAFI YANG MENGHAIRANKAN

Ketika BERSIH berjaya mengumpulkan rakyat dari pelbagai agama, bangsa dan parti politik, atas suatu titik persamaan iaitu mahukan keadilan dan transparesi dalam pemerintahan dan pilihanraya, kita dikejutkan dengan idea-idea kelompok ultra Salafi yang tidak henti-henti melaungkan seruan, “haram menegur pemerintah secara terbuka”.

Haram menegur pemerintah melalui ceramah dan tulisan terbuka.

Kemuncaknya adalah haram menegur pemerintah melalui demonstrasi di jalan raya.

Semua ini diklasifikasikan sebagai maksiat kepada Allah.

Saya faham, memang terdapat banyak hadith Nabi SAW dan peringatan dari atsar Sahabah tentang tuntutan menyabarkan diri atas kezaliman pemerintah. Tetapi hadith-hadith tersebut diungkapkan dalam konteks satu amalan politik yang ada karakter tertentu. Malah larangan menegur pemerintah secara terbuka juga tidak mutlak.

Konteks politik yang saya maksudkan itu ialah, selama 1000 tahun pemerintahan Islam, kita tidak mempunyai legasi constitution yang memperincikan bidang kuasa dan kaedah check and balance di dalam sebuah kerajaan. Channel menegur pemerintah lazimnya dalam format yang straight to the point dan kita bisa faham bagaimana teguran secara terbuka dan langsung mempunyai risiko yang tinggi untuk mencetuskan keresahan dan ketidak stabilan sosial. Maka, mengekalkan ketenteraman awam, lebih penting dari usaha meluruskan pemerintah dalam kesalahan-kesalahan peribadinya yang tertentu.

Hari ini, saluran menegur sudah diperincikan oleh perlembagaan. Bidang tugas dan ruang lingkup menyatakan pandangan juga sudah diperincikan oleh peraturan negara. Selagi mana komitmen terhadap peraturan ini dipatuhi, selagi itu kestabilan masyarakat terus terjamin. Kerajaan memberi peruntukan kebebasan bersuara, manakala rakyat pula memanfaatkannya secara berhemah dan bertatasusila.

Demonstrasi juga bukanlah suatu yang patut diselalukan, tetapi ia ada justifikasi selagi mana komitmen mereka yang terlibat boleh dikawal.

Jika Islam mengajar tenteranya agar sempat peka kepada larangan mematah pokok, menyerang orang tua, perempuan dan kanak-kanak serta mereka yang berlindung di rumah ibadat, maka tidak mustahil untuk demonstrasi dilakukan dengan etika-etika tertentu. BERSIH baru-baru ini sekali lagi mengulang cerita, bahawa yang melanggar komitmen kepada keamanan ialah pihak berkuasa, bukannya massa.

Tidak Mutlak

Tetapi larangan menegur dan tuntutan sabar terhadap kesalahan pemerintah itu juga tidak mutlak. Ia dibatasi dengan ingatan Baginda SAW bahawa “selagi mana pemerintah itu memastikan solat ditegakkan”, “selagi mana pemerintah itu tidak melakukan kekufuran yang bawwah - nyata tanpa boleh dipertikaikan lagi -”, juga “selagi mana pemerintah itu tidak melakukan maksiat yang bawwah“.

Kecelikan kita semua terhadap isu-isu semasa amat penting dalam membuat penilaian, apakah unsur maksiat bawwah atau kufur bawwah itu ada di dalam masyarakat kita? Manusia yang jahil politik, atau sengaja memejamkan mata dari masalah-masalah masyarakat, tidak mungkin dapat menilainya dengan betul.

Bagi golongan yang tidak merestui korupsi pemerintah, mereka mengambil pendekatan menegur di dalam parlimen dan dewan rakyat, menyebutnya di dalam ceramah dan penulisan, dan dalam keadaan-keadaan tertentu mereka terpaksa berdemonstrasi. Apabila kaedah yang mereka pakai begitu terbuka dan jelas, maka mudah untuk kita membuat penilaian. Jika salah, boleh diperbetulkan.

Tetapi bagi yang mengharamkan perbuatan menegur pemerintah secara terbuka, kita perlu tahu apakah method yang mereka pakai untuk menegur pemerintah. Saya yakin, apa sahaja mazhab dan manhaj kita, kemungkaran tetap kemungkaran dan ia perlu dicegah dan dibasmi. Hal ini wajib menjadi suatu kesepakatan di antara kita.

Akan tetapi, bagi golongan ultra Salafi ini, apakah cara mereka melaksanakan nahi munkar tersebut? Apakah mereka menulis surat dan email kepada menteri-menteri kita? Apakah mereka buat temu janji untuk bertemu bagi sesi menegur? Apakah mereka jemput menteri ke rumah untuk mendengar nasihat mereka? Atau mereka bertandang ke rumah menteri untuk memberitahu mereka bahawa rasuah, ISA, bebanan tol, kepincangan sistem kehakiman, kronisma dan nepotisma, penipuan tender dan sebagainya ini, adalah suatu kemungkaran?

Ini yang perlu diperjelaskan.

Dalam mengemukakan pendapat yang berkaitan dengan ibadah, kesan bermanhaj secara literal tidaklah besar impaknya kerana ia terhad kepada amalan peribadi. Tetapi untuk memperkatakan tentang muamalah dan siasah, pendapat kita mesti valid untuk dijadikan polisi. Maka apakah polisi golongan ultra Salafi dalam menjalankan tanggungjawab mereka mencegah kemungkaran?

Selain SS Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin, yang boleh menggunakan kapasitinya sebagai mufti untuk meluruskan ibadah, muamalah dan siasah Perlis, menjadi penasihat kepada Menteri Besar dan Exco Kerajaan Negeri Perlis, bagaimana pula dengan individu ultra Salafi yang lain? Apa method mereka? Mufti dengan tugas mufti, mereka yang bukan mufti juga adalah tanggungjawab masing-masing dalam hal ini.

Jika persoalan ini gagal dijawab, maka ia akan menjurus kepada gerakan Sunnah untuk sekali lagi diperguna dan diperalatkan oleh politik dan politikus. Sudah banyak kali gerakan Sunnah berjaya mencapai kuasa perlaksanaan, tetapi sering berakhir sebagai mangsa politik pemerintah. Bak kata pepatah Melayu, “habis manis sepah dibuang”. Seperti kes yang menimpa Mehmet Birgili yang pernah saya bentangkan di seminar di UIA beberapa tahun yang lalu. (Klik di sini untuk muat turun kertas kerja tersebut).

Inilah yang saya maksudkan tadi, bahawa dalam kehidupan realiti, sama ada kita mengawal politik, atau politik akan mengikat dan mengawal kita. Untuk terlepas dari politik, jauh sekali.

Persoalan ini penting, kerana golongan ultra Salafi dan pihak pemerintah sendiri, senada dalam memberi teguran kepada orang ramai.

SS MUFTI PERLIS DAN BERSIH

Di dalam temubual oleh Radio 24 Bernama pada Berita 8 malam 12 November baru-baru ini, SS Mufti Perlis memberi ingatan kepada BERSIH supaya memikirkan bahawa ketika kepentingan peribadi, golongan atau parti tertentu mahu dicapai, kesan tindakan mereka sebenarnya menimpa semua orang. Beliau juga mahu BERSIH melihat nasib negara-negara Muslim lain yang tidak menikmati keamanan dan kebebasan bersuara seperti yang ada di Malaysia. Selain itu, beliau mengingatkan BERSIH agar tidak lupa kepada adab-adab semasa berada di Masjid, dan adab itu perlu dibawa juga ke luar masjid.

Soalnya, sekalian mereka yang terlibat di dalam BERSIH memang komited kepada keamanan. Buktinya, kesemua mereka bersurai secara aman dan teratur selepas memorandum berjaya diserahkan kepada DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong. Sedangkan siapakah yang menembak orang ramai dengan water canon dan air berasid? Siapakah yang mengunci masjid malah pernah dalam demonstrasi sebelum ini, mereka masuk ke masjid dengan memakai but? Tidakkah semua itu dilakukan oleh FRU sebagai jentera pemerintah?

Bukankah teguran sepatutnya ditujukan kepada pihak berkuasa, sebelum ia dilontar kepada massa?

Mengapa pembangkang juga yang akhirnya bersalah?

CELIK POLITIK

Kerana sedar dengan realiti politik, saya pernah menyebut sebelum ini bahawa, jika Dr. Asri dilantik sebagai Mufti selepas Pilihanraya Umum, maka saya pasti segera mengucapkan tahniah. Tetapi jika perlantikan dibuat sebelum Pilihanraya Umum, maka saya terpaksa tunggu dan lihat.

Masih belum terlambat untuk kita saling berlaku adil. Bahawa kemungkaran tetap kemungkaran, ia mesti diperbetulkan sama ada ia dilakukan oleh ahli bid’ah di tengah masyarakat, atau pun pemerintah yang berkuasa di negeri dan negara.

Jika dirujuk kepada sejarah, British tidak pernah menganggap penentangan kaum Hindu sebelum Ghandi sebagai suatu ancaman kepada kuasa kuasa kolonialisasi mereka. Ini berpunca daripada kepercayaan kaum Hindu bahawa mereka telah ditakdirkan dihidupkan di dunia ini pada kasta tersebut dengan nasib semasa yang menimpa. Justeru mereka mengambil langkah pasrah, dengan harapan boleh lahir semula di alam kedua nanti dengan kasta dan nasib yang lebih baik.

Malah agama Kristian juga begitu. Politik ditinggalkan kerana negara idaman hanyalah Kingdom of Heaven di alam sana.

Apakah ultra Salafi mahu menyemai sikap inferior yang sama seperti ini?

BELAJAR TIDAK SEMESTINYA TERLIBAT

Oleh itu, saya ingin mengajak kita semua, pelajar dan pekerja, Salaf dan Khalaf, ahli PAS mahu pun JIM, ABIM dan Tabligh, agar sama-sama peka dengan politik. Memperkatakan tentang politik, jangan sempitkan kepada isu partisan semata. Ia terlalu luas dan murni sebagai satu cabang kehidupan dan disiplin pengetahuan.

Apa erti saya menganut Islam?

Salah satunya ialah, peduli terhadap nasib umat Islam, pada makruf dan pada mungkarnya.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur






--------------------------------------------------------------------------------


© SAIFULISLAM.COM (1998 – 2007)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Saifulislam.Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Saifulislam.Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin SAIFULISLAM.COM terlebih dahulu.

"Erti Hidup Pada Memberi"

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur